top of page

Avenir Light is a clean and stylish font favored by designers. It's easy on the eyes and a great go to font for titles, paragraphs & more.

23 April 2020
PERUTUSAN DARIPADA NAIB PRESIDEN KELAB GOLF KINTA

Salam sejahtera kepada ahli-ahli Kelab Golf Kinta (KGK) yang dihormati. Saya mendoakan agar semua ahli serta keluarga berada dalam keadaan yang baik diketika ini.

Seperti yang kita semua sedia maklum, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, boleh dikatakan kita langsung tidak bersua muka, apatah lagi untuk bermain golf seperti lazimnya pada kebanyakan hari-hari sebelum ini. Adalah amat mendukacitakan bagi kita semua untuk mengharungi semua ini, namun inilah kaedah dan pendekatan yang terbaik yang diambil oleh Kerajaan dalam menangani musibah Covid 19 yang melanda seluruh dunia ketika ini.

Seperti yang semua ahli KGK sedia maklum bahawa selaras dengan arahan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan dibawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 & Akta Polis 1967, Kelab terpaksa menghentikan semua aktiviti golf serta fasiliti lain termasuk pejabat Kelab bermula dari 18 Mac 2020 sehingga 28 April 2020, atau ke satu tarikh yang dipanjangkan mengikut notis dari Kerajaan.

Saya pasti dalam tempoh ini, Kelab akan berhadapan dengan isu pendapatan yang terjejas, penjagaan padang yang tidak memenuhi piawaian yang sepatutnya dan beberapa kesukaran lain, termasuk juga kesukaran yang dihadapi oleh kakitangan Kelab yang tidak dapat bekerja seperti biasa. Kita tiada pilihan lain, melainkan dengan merancang satu kaedah atau penyusunan yang paling minimum bagi memastikan Kelab dan padang dijaga dalam tempoh ini dan ini melibatkan bilangan kakitangan yang sangat terhad, serta mengikut prosedur yang disyorkan bagi mematuhi arahan PKP. Jawatankuasa Kelab telah dan akan terus sedaya upaya berikhtiar bagi memastikan perkara ini dipatuhi dan dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Tidak dapat dinafikan, bukan sahaja Kelab Golf Kinta menghadapi kesukaran, malah hampir setiap organisasi diserata dunia akan terkesan dengan musibah ini. Apa yang terbaik kita boleh lakukan ialah dengan mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan dan bekerjasama dengan baik. Dengan yuran bulanan yg rendah serta 'green fee' dan bayaran 'buggy' yang rendah, kedudukan kewangan Kelab sentiasa berada pada tahap yang genting. Untuk makluman tuan-tuan 43% daripada pendapatan Kelab adalah daripada yuran bulanan ahli sementara 31% adalah daripada kutipan bayaran buggy, 10% daripada ' green fee' yg dibayar oleh 'guest' dan 16% daripada bayaran- bayaran lain seperti bayaran 'flight jumbo', sewaan dan sebagainya. Dalam keadaan sekarang Kelab pastinya kehilangan 41% daripada pendapatan ( kutipan buggy dan green fee - guest) kesan daripada pematuhan PKP. Melalui pengurusan kewangan yang terkawal, Kelab ini masih mampu untuk beroperasi setiap bulan, Insya Allah.

Ahli-ahli yang saya kasihi,

Ekoran daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sesuai dengan peruntukan serta pertimbangan yang selayaknya, kita juga telah menangguhkan Mesyuarat Agung Tahunan Kelab yang dijadualkan pada 19 April 2020 (Ahad) ke satu tarikh lain yang akan ditetapkan kemudian bergantung kepada notis dari Kerajaan. Hal ini telah dibincangkan dan mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia. Ahli-ahli akan dimaklumkan berkenaan tarikh baru setelah ianya diputuskan nanti.

Adalah menjadi harapan saya agar semua ahli tetap berdiri teguh dan terus menyokong Kelab Golf Kinta dalam apa jua keadaan. Kita sedar akan kedudukan kewangan Kelab di ketika ini. Tidak dinafikan Kelab memerlukan suntikan dana tambahan dari luar misalnya, untuk memastikan Kelab terus dapat beroperasi dengan lancar. Jawatankuasa Kelab sentiasa mengkaji segenap ruang yang ada dan berikhtiar sebaik mungkin dalam usaha mendapatkan suntikan dana. Diharapkan, ada pihak yang sudi untuk menghulurkan dana kepada KGK satu hari nanti, Insya Allah.

Dikesempatan ini juga saya membuka ruang kepada mana-mana ahli Kelab yang ingin turut sama membantu dan menyumbang dalam usaha penambahbaikan dalam apa jua bentuk kearah pembangunan Kelab ini. Pendapatan Kelab sekarang boleh dikatakan bergantung hampir sepenuhnya kepada yuran bulanan ahli. Oleh hal yang demikian keprihatinan ahli-ahli berhubung isu bayaran yuran ini amat diharapkan.

Akhir kata , saya memohon maaf diatas segala kekurangan dan ingin meluahkan penghargaan saya kepada semua ahli-ahli KGK yang sentiasa menyokong Kelab ini sejak sekian lama. Patuhi PKP, kekal berada dirumah dan berikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa. Semoga wabak Covid 19 ini akan cepat dibanteras dan kita semua dapat kembali beriadah di Kelab Golf Kinta semula.

Salam hormat dan terima kasih dari saya.

AZIZUL BIN MOHD OTHMAN
Naib Presiden

bottom of page